Menjadi pelajar aliran agama merupakan sesuatu yang amat istimewa. Dalam keadaan manusia berlumba menggali khazanah duniawi, masih ada yang ditakdirkan untuk asyik dengan khazanah ukhrawi.
Tambah istimewa apabila banyak sekali ganjaran yang bakal diperolehi mereka seperti yang ternukil dalam kalam Ilahi serta sabdaan JunjunganNYA s.a.w. Hamparan sayap malaikat lebih indah dari sekadar melayari permaidani merah yang menjadi igauan manusia terbanyak. Doa-doa dari dasar lautan menjadi bukti bahawa mereka diberi tumpuan.
Namun begitu, di sebalik pelbagai ‘keistimewaan’ yang diberikan wujud seribu satu tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh penuntut-penuntut agama ini. Ganjaran yang pelbagai ini tidak akan bermakna jika mereka gagal membuktikan kesetiaan kepada PEMBERINYA.
Bila kita fokus hal tanggungjawab ini, antara tugas penting yang perlu diberi perhatian adalah agenda ‘menyelamat umat’.Dalam keadaan umat yang sedang diganyang dari setiap sudut yang merangkumi fizikal dan mental, perlulah sekelompok manusia yang benar-benar arif tentang agama ini untuk tampil mempertahankannya. Golongan ini tentulah mereka yang menjadi pelajar-pelajar agama.
Agenda perjuangan mempertahan agama dalam dunia moden ini bukanlah suatu yang boleh dianggap enteng. Musuh yang datang dari segenap penjuru menggunakan setiap ruang yang ada untuk menghancurkan umat ini. Pelbagai wasilah dipakai, malah terkadang ianya terlalu ampuh untuk kita menanganinya. Musuh sanggup bersengkang mata, mencipta teori, membuat kajian dan percubaan, memanfaatkan segalanya hanya untuk memastikan cita-cita mereka tercapai. Maka hasilnya, seperti yang dapat kita saksikan bahawa mereka sudah mula menuai hasilnya.
Namun yang menyedihkan kita, sebahagian daripada pejuang-pejuang Islam masih lagi jauh ketinggalan dari segi kemampuan untuk mereka benar-benar merempuh gelora yang sedang mengganas ini. Perasaan puas hati dengan apa yang ada, merasa cukup dengan kaedah yang bersifat tradisi, beralasan bahawa Allah s.w.t hanya akan bertanya kerja buat kita bukan natijahnya, sebenarnya ini semua hanya akan menjadikan kita jauh ketinggalan dalam persaingan menyantuni ummah ini.
Oleh yang demikian itu, para pelajar aliran agama perlulah mempersiap diri dengan memenuhkan ilmu di dada. Ilmu yang bersifat formal perlu ditambah dengan thaqafah yang pelbagai sifatnya. Kalau hanya mengharapkan pembelajaran di kelas, sebenarnya masih amat sedikit dari yang sedikit. Nilai tambah perlu ada, galilah bermacam-macam seni ilmu dengan seribu satu cara. Buatlah pengajian-pengajian tidak formal, tambahkan bahan bacaan, luaskan pengalaman agar menjadi bekalan berguna kepada kita.
Seperkara lagi, ilmu-ilmu berkaitan bahasa inggeris, sains, matematik, geografi perlu ditingkatkan. Kesemua itu merupakan antara perkara penting dalam menggerak agenda dakwah dewasa ini. Ilmu pengurusan juga harus dititik beratkan. Hakikatnya, antara sebab kelemahan umat Islam kebelakangan ini adalah disebabkan lemahnya pengurusan, tidak punya perancangan rapi, banyak perkara dibuat secara ad-hoc. Manakala pihak musuh sudah merancang dengan penuh teliti sehingga mereka mampu menduga apa yang bakal berlaku untuk 50 tahun akan datang. Natijahnya mereka jauh lebih berjaya dalam mempengaruhi minda dan jasad umat dunia.
Reformasi perlu dilakukan, perubahan cara perlu dimulakan. Kita perlu lebih bersedia menghadapi lebih banyak cabaran di masa depan. Setakat cabaran yang sedia ada pun, kita hampir tenggelam dari arus perdana. Bagaimana pula untuk tempoh 50-70 tahun akan datang!
Islam itu tetap relevan. Namun cara dan pendekatan harus diberi nafas baru.
Kitalah harapan ummah !!! Salam perjuangan…….


0 comments:
Post a Comment